Monday 3 May 2010

sudut bercerita

ketika saya di suatu pekan di pinggir bandar tokyo, seorang lelaki telah menegur saya dengan senyuman. bukan senang mahu ditegur oleh orang tempatan melainkan anda berambut kuning dan berkulit cerah.

ayat pertama dia katakan: 'anda muslim?'

saya angguk sambil tersenyum. dia tanyakan saya tahu bahasa jepunkah? saya katakan tidak. dia cuba berbahasa inggeris berpelatkan jepun. tapi saya faham isi kata beliau.

beliau katakan "stay as you are. orang Jepun sangat terbuka. mereka boleh terima orang yang memakai hijab. saya gembira kamu memakai hijab. jangan risau berjalan-jalan dengan hijab di Jepun. dan saya adalah seorang muslim"

saya pelik. saya tak pernah rasakan memakai tudung di Jepun suatu yang pelik. saya tidak rasakan mereka memandang saya pelik. sebab mungkin pada mereka saya bukan berambut perang berkulit cerah.

kecuali satu keadaan : terdapat dua orang kanak-kanak memandang saya dengan penuh tanda tanya. mungkin mereka rasakan saya berkepala botak sebab saya menutup kepala saya. pernah juga bila saya membeli shampoo, jurujual berkata 'botol ini boleh bertahan sehingga 6 bulan ke setahun." tidakkah mereka tahu rambut saya panjang oleh itu stok shampoo saya hanya bertahan hanya untuk 4 bulan?

saya bacakan artikel mengenai pemakaian tudung dan penutupan aurat di Jepun. Oleh kerana di Jepun masih belum ada kesedaran di kalangan penduduk tempatan, ramai muslim terpaksa membuka hijab kerana tidak mahu dikatakan kolot. ada juga yang digelarkan 'nun' kerana menutup aurat. mungkin kita sebagai muslim menjadi lebih terbuka dalam menyatakan keislaman terhadap masyarakat sekeliling. mungkin mereka tidak paham tapi mereka akan cuba untuk memberikan sokongan mereka terhadap kepercayaan kita.

hidup itu sebenarnya mudah bukan?

hisashiburi.

salam.

lama tak bernukilan di sini. sama ada saya sibuk ataupun tiada rasa mahu berkata-kata. banyak juga yang mahu saya katakan di sini tapi entahlah, mungkin seperti manusia lain, saya punya kehidupan yang perlu diteruskan.

dalam meniti hari yang semakin sibuk dengan perihal dunia, terkadang buat saya terfikir, apakah yang saya boleh lakukan untuk dunia? saya boleh selamatkan duniakah? dengan cara yang bagaimana?

orang kata - buat satu perkara yang kecil nescaya manfaatnya berbeda. jika bukan waktu sekarang, mungkin di kehidupan yang akan datang. hidupkah saya masa itu?

sejak kebelakangan ini saya punya tiada rasa untuk hidup. banyak kali juga saya rasakan sebegini. bukan rasa mahu mati, cuma saya rasa hidup saya tidak punya makna. sehari-hari hanyalah bertemankan dinding konkrit dan hiburan alpa tanpa sempadan buat saya berfikir, kalau saya mati nanti apa saya mahu jawab dengan Tuhan apa yang saya buat di atas muka bumi ini?

saya sentiasa fikirkan hidup saya senang. senang untuk makan, tidur, dan buat-buat sibuk dengan dunia. mungkin perkara begini buat saya tak mahu fikirkan manusia lain yang tak cukup makan, tidur dan sengsara. mungkin mereka yang buat nasib mereka begitu ataupun mungkinkah nasib yang membuat mereka menjadi begitu?

saya rasakan dunia ini sudah tidak selamat. tercatit di kitab yang satu bahawasanya ini sudah petanda akhirnya zaman. akan datangnya perang, akan datangnya dua makhluk dajal. saya tidak tahu, mungkin sebab saya rasakan jika saya tidak tahu maka saya tidak akan risau. tapi jika saya tidak risau nescaya saya akan jadi alpa.

itu yang saya tak mahu.

bagi saya, rumah adalah dunia saya yang paling selamat. oh, tidak juga. tapi tempat itulah yang paling 'selamat' dalam erti kata kehidupan saya. biarpun rasa sunyi itu tetap ada, tetapi pada saya rasa sunyi itu adalah muzik indah dalam hidup saya.

sewaktu kecil saya sering berfikir, kenapakah orang hidup menderita? kenapakah orang menanges duka? mengapakah mereka bersendirian? tidakkah itu rasanya seperti separuh mati?

tapi kini saya mungkin tahu jawapan kepada itu.
rasa sunyi itu mendekati mati.
mengingati mati itu suatu yang perlu untuk katakan pada diri yang hidup ini sebenarnya bertujuan.
hidup ini sebenarnya berperasaan.
kita perlu hargai sunyi untuk hargai rasa-rasa yang lain.
tanpa sunyi hidup itu tidak lengkap.

biarpun manusia di sekeliling saya sudah punya sesuatu ataupun seseorang dalam hidup mereka yang mereka tujukan untuk hidup, saya rasa cukuplah saya punya rasa sunyi untuk meneruskan hidup saya.

biarpun orang kata saya pelik, biarpun orang katakan saya bosan.
asalkan sunyi itu tidak jauh dari hidup saya.

oh saya lupa mahu kenalkan kawan kepada sunyi:

KETAWA.